Subscribe:

Ads 468x60px

Pages

Saturday, February 18, 2012

Jadilah Sahabat Yang Terbaik

Dalam kehidupan yang sementara ini kita memerlukan teman yang dipanggil sebagai sahabat. Merekalah menjadi teman kita sementara kita masih bernyawa di dunia ini. Sahabat yang baik adalah sahabat yang membimbing kita ke arah kebaikan bukannya ke arah keburukan. Dalam kita bersahabat biarlah ikhlas dan bukan mengharap apa-apa balasan. Biarlah Allah sahaja yang membalas jasa baik kita.

Dalam bersahabat perlulah menjaga adab bersahabat agar hubungan persahabatan yang dibina berkekalan hingga akhir hayat kita. Janganlah kita mengambil kesempatan ke atas sahabat kita yang lemah demi kepentingan peribadi kita. Sahabat ini ibarat cermin yang memantulkan balik diri kita yang sebenarnya kepada kita. Ada pepatah mengatakan “Dalam seribu kawan belum tentu ada seorang sahabat”.

Sahabat ibarat matahari yang menyinari kehidupan kita. Memberi sumber kekuatan di kala kita lemah. Menjadi pendengar yang setia mendengar luahan masalah kita dan memberi pandangan dan nasihat menyelesaikan masalah kita. Sahabat ada di kala kita susah dan senang. Berbanding dengan kawan yang hanay ada bersama dengan kita ketika kita senang dan apabila kita susah mereka hilang entah ke mana.

Hargailah sahabat kita agar mereka juga akan menghargai kita. Kerana apa yang kita berikan kepada orang lain, itulah yang kita akan dapat kembali. Itulah erti hidup yang memberi dan menerima. Contohilah persahabatan Rasulullah dengan sahabat-sahabat seperjuanganya seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al Khattab, Usman Bin Affan, Ali Bin Abi Talib dan sahabat-sahabat nabi yang lain.

Mereka bersahabat kerana Allah dan berjuang bersama-sama dengan Rasulullah. Di kala susah dan senang. Mereka ada contoh sahabat yang terbaik yang perlu kita contohi dalam kehidupan kita. Agar kita juga menjadi sahabat yang terbaik kepada sahabat kita. Segala silap salah diterima dengan hati yang terbuka. Mana yang baik dijadikan panduan, dan mana yang buruk jadikan sempadan. Jadilah diri kita sahabat yang terbaik di dunia yang sementara ini.



Wednesday, February 08, 2012

Cikgu Dalam Kehidupan Kita

Cikgu yang terbaik dalam kehidupan kita adalah pengalaman. Pengalaman hari semalam, hari ini dan hari esok mengajar kita erti kehidupan, mematangkan fikiran dan mendewasakan diri. Pengalaman begitu berharga dalam kehidupan. Tidak dapat dibeli dan ditukar ganti dengan wang ringgit. Tanpa pengalaman hari semalam kita tidak akan dapat maju pada hari ini dan esok dan juga tidak dapat menambah baik diri dari sebelum ini. Pengalaman adalah guru terbaik mematangkan diri.

Cikgu yang teristimewa dalam kehidupan kita adalah ibu bapa kerana mereka mengajar kita erti kehidupan sejak kita kecil lagi sampailah dewasa. Tanpa ibu bapa, tiadalah kita. Tanpa ibu bapa, siapalah kita di dunia ini. Setiap tunjuk ajar dan nasihat ibu bapa adalah nasihat insan yang terbaik dalam kehidupan kita kerana mereka telah mengalami dan matang mengharungi kehidupan ini yang penuh cabaran dan onak duri. Setiap nasihat dan tunjuk ajar ibu bapa adalah terbaik buat diri kita.

Cikgu yang terindah dalam kehidupan kita adalah tenaga pengajar yang telah mengajar kita sama ada tadika, sekolah rendah, sekolah menengah mahupun pengajian tinggi. Mereka sanggup berkorban masa dan membanting tenaga empat kerat mereka demi menabur bakti dan ilmu buat diri kita agar kita menjadi insan yang berjaya pada suatu hari nanti. Dengan semua ini, kita terus maju ke hadapan dengan ilmu yang dibekalkan dan diamalkan dalam kehidupan.

Cikgu yang ternilai dalam kehidupan kita adalah orang-orang sekeliling. Melalui mereka kita akan belajar sesuatu yang tidak kita pelajari dalam kelas. Apa yang berlaku pada sekeliling kita boleh kita jadikan panduan dan pengajaran untuk kita menghadapi kehidupan ini dengan lebih baik. Jadikan apa yang berlaku di sekeliling tidak kita ulangi dalam kehidupan kita. Yang baik dijadikan panduan, yang tidak baik jadikan sempadan. Orang sekeliling adalah cermin kepada diri kita untuk menilai setiap kekurangan dan kelebihan diri kita.

Hargailah cikgu-cikgu dalam kehidupan kita ini selagi mereka masih ada di dunia yang sementara ini. Tanpa tunjuk ajar mereka selama ini secara tersurat mahupun tersirat, siapalah diri kita pada hari ini.



Tuesday, February 07, 2012

Di Sebalik Liku-Liku Kehidupan

Kerana aku seorang insan dan hamba. Pasti aku ditimpa ujian. Dikala aku bersedia atau tidak ujian tetap datang bertandang menguji diri. Ujian mengajar aku erti kehidupan. Bahawa kehidupan ini silih berganti suka dan duka. Ia dilengkapkan dengan corak air mata dan hampa. Itulah hakikat kehidupan mengajar aku erti sabar dan terus belajar senyum walaupun pahitnya ujian itu.

Ketika kehendakku tiada dalam genggaman. Aku menjadi insan matang. Mengenali kekurangan diri yang perlu aku akui siapa diriku. Mengajar aku mensyukuri setiap kekurangan dan kelebihan diriku. Terima dengan hati terbuka kelebihan insan lain. Kerana aku sedar setiap manusia ciptaan Sang Pencipta mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.

Kegagalan semalam telah menghancurkan hati dan impianku. Namun kegagalan itu mengajar aku bahawa setiap apa yang diimpikan tidak semua berada di tangan. Kerana aku sedar bahawa Sang Pencipta memberi apa yang perlu bagiku bukan apa yang aku mahu. Dia yang menciptakan aku maka Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat diriku walaupun sesuatu sudah baik di mataku.

Ujian menyedarkan aku bahawa aku merancang dan masa yang sama Sang Pencipta juga merancang. Namun perancangan Sang Pencipta adalah yang terbaik buat setiap hambaNya. Setiap yang berlaku ada hikmahnya yang pasti ada kebaikannya sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Aku perlu muhasabah kembali setiap hikmahNya itu untuk aku tahu apa yang Sang Pencipta ingin sampaikan kepadaku.

Ujian dan dugaan itu adalah didikan terus daripada Sang Pencipta kepada hambaNya.


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Featured Posts