Subscribe:

Ads 468x60px

Pages

Showing posts with label Cinta. Show all posts
Showing posts with label Cinta. Show all posts

Sunday, February 05, 2012

Salam Maulidur Rasul

Hari ini cukup istimewa buat semua Islam seluruh dunia. Lahirnya seorang insan istimewa di dunia, kekasih Allah Nabi Muhammad SAW 1400 tahun lebih dahulu. Namun sampai saat ini baginda masih diingati umatnya walaupun tidak pernah berjumpa dan bersua sapa di depan mata. Itulah istimewanya Rasulullah SAW walaupun tidak pernah dilihat umatnya tapi masih dikenali dan dingati dalam hati. Tidak kurang juga yang melupakan baginda kerana tidak mengenali baginda secara mendalam. Di mana silapnya?

Kelahiran Rasulullah SAW memberi cahaya rahmat baru buat umat manusia secara amnya dan umat Islam secara khususnya. Terpancarnya cahaya keimanan sebenar dengan mengeluarkan manusia daripada jahiliyyah kepada Islam. Daripada menyembah patung-patung bahala yang tiada memberi apa-apa erti kepada penyembahan yang hakiki dengan menyembah Allah, Sang Pencipta manusia dan seluruh alam semesta. Cahaya yang mengubah daripada nereka kepada syurga. Tempat idaman setiap manusia sama ada manusia itu beriman atau tidak.

Namun sudah menjadi lumrah akhir zaman di mana Rasulullah SAW hanya dingati pada hari-hari keistiewaan baginda dan Islam. Tidak pada hakikatnya, sepatutnya dingati pada tiap-tiap hari dalam kehidupan kita. Perarakan Maulidur Rasul diadakan pada setiap tahun sempena sambutan Maulidur Rasul sedikit sebanyak membuat umat Islam kembali mengingati Rasulullah SAW daripada melupakan baginda terus dalam kehidupan. Ini berpunca umat Islam sendiri tidak mengenali Rasulullah SAW secara mendalam. Bak kata pepatah melayu “Tak kenal maka tak cinta”. Begitu juga dengan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW cukup istimewa dalam kehidupan kita. Seorang insan yang melindungi kita daripada keburukan, kejahilan dan kesesatan kehidupan. Segala pengorbanan baginda selama ini tidak mampu kita balas. Kita perlulah berasa malu dengan baginda yang selama ini kita masih tidak memenuhi harapan baginda dengan melakukan segala suruhan dan larangannya. Baginda sanggup berkorban segalanya demi umatnya. Namun kebanyakkan umatnya hanya memenuhi kepentingan diri sahaja. Kerana tiada Cinta Rasulullah dalam diri, jiwa dan hati.

Jika air mata umat mengalir kerana rindukan Rasulullah SAW, ketahuilah bahawa bukan air mata Rasulullah SAW sahaja mengalir tetapi darah Rasulullah SAW juga mengalir kerana cintakan umatnya. Sekiranya kita tak mampu melakukan semua sunnahnya. Janganlah kita tingggalkan semua sunnahnya.




Saturday, February 04, 2012

Cinta Yang Sebenar

Cinta. Rata-rata orang zaman kini khususnya anak muda silap definisi cinta yang sebenarnya. Disebabkan itu timbullah istilah cinta monyet, cinta buta dan cinta sebelum kahwin itu haram. Bercinta sudah menjadi lumrah anak muda zaman kini dan sekiranya seseorang itu belum pernah bercinta dianggap ketinggalan zaman. Fenomena ini telah merebak parah di alam persekolahan rendah lagi sehingga anak muda hilang fokus pada pelajaran disebabkan asyik melayari lamunan cinta.

Masyarakat melayu zaman kini menggangap cinta sebelum kahwin itu negatif dan haram. Kerana beranggapan cinta sebelum kahwin itu kotor dan menjijikkan. Kerana diertikan cinta sebelum kahwin itu mesti membawa keburukkan dan kemaksiatan. Cinta anak muda zaman kini mesti ada adegan berkaitan dengan dating, berpegang tangan, bercium dan seks. Tanpa semua itu dianggap tidak lengkap bercinta.

Kerana itulah cinta difaham begitu oleh anak muda dan juga orang veteran. Dari mana definisi cinta sebegitu datang? Dalam bahasa mudah, ia datang dari Hollywood. Itulah cinta Hollywood yang dipegang orang zaman kini dan semakin merebak dalam drama dan filem Melayu. Dalam sedar atau tidak, kita dididik secara tersurat dan tersirat definisi cinta sebegitu. Namun pada hakikatnya cinta yang sebenarnya bukanlah begitu.

Kesannya apabila si anak meluahkan hajatnya ingin berkahwin pada usia muda dikatakan anak itu gatal bercinta dan kahwin. Disuruhnya fokus pada belajar dulu. Niat baik si anak dimatikan begitu sahaja tanpa membawa jalan penyelesaian yang terbaik kedua-dua pihak antara si anak dan ibu bapa. Akhirnya si anak mencari jalan penyelesaiannya sendiri melayari cinta maka berlakulah perkara yang tidak sepatutnya seperti hubungan luar nikah yang membawa kepada pembuangan bayi.

Bukahkah Islam itu mudah? Kenapa kita rumitkan yang mudah disebabkan pegangan budaya bangsa yang terlalu kuat dalam diri berbandingan pegangan agama. Islam menghalalkan hubungan lelaki dengan wanita dengan nikah. Tetapi orang zaman kini merumitkan pernikahan dengan belanja yang besar, hantaran yang tinggi, majlis kenduri yang meriah dan sebagainya. Ini menyebabkan zina itu lebih mudah dari nikah.

Apa definisi cinta yang sebenarnya? Apa-apa yang membawa ke syurga itu adalah cinta. Apa-apa yang membawa ke neraka itu adalah nafsu. Apabila kita suka, kasih dan cinta seseorang mestilah kita tidak akan mencederakannya atau membuat sesuatu yang membawanya kepada keburukan. Apatah lagi membawanya ke neraka yang semestinya tiada siapa mahu menjejak kaki ke sana. Apa lagi yang istimewa melainkan ke syurgaNya.

Definisi cinta yang sebenar inilah yang mesti diperbetulkan kita semua. Jangan silap definasinya. Silap definisi cinta, silaplah melayari cinta. Betul definisi cinta, betullah melayari cinta. Sekiranya ibu bapa kita tidak dapat perbetulkan definisi cinta yang sebenarnya dan beranggap kahwin muda itu gatal dan susah. Kita perbetulkanlah apabila kita menjadi ibu bapa nanti. Janganlah kita mengulangi apa yang telah ibu bapa kita lakukan sebelum ini.

Cinta itu indah, suci dan kudus. Janganlah kita rosaknya disebabkan kejahilan kita mengenai definasi cinta yang sebenarnya.



Thursday, December 29, 2011

Memilih Calon : Antara Gedik Dan Realistik?

“Faiz nak cari calon yang macam mana?” Saya bertanya sambil menghirup kopi yang masih panas. Tika suasana sejuk begini, setiap hirupan dirasakan cukup nikmat. Tambahan pula berbicara isu-isu tentang Baitul Muslim yang memerlukan fokus yang tinggi.

"Faiz sebenarnya taklah memilih sangat, tapi abang Hisham tengoklah senarai ini, mudah-mudahan ada yang punya ciri sepertinya. Kalau tidak semua pun, saya amat berharap 2/3 darinya dapat dipenuhi, kerana saya ingin melahirkan generasi yang bakal menyambung perjuangan Solahuddin." Ujar Faiz dengan bersemangat sambil menghulurkan sekeping kertas berlipat kepada saya.

"Wah! Serius sungguh nampaknya!" Ujar saya, tetapi hanya di dalam hati.

Saya menyambut kertas yang dihulurkan dan kemudian membukanya perlahan-lahan. Berkerut-kerut dahi saya membacanya.

1. Berkulit putih.

2. Punya lesung pipit.

3. Bertudung labuh

4. Berkaca mata

5. Berasal dari Kelantan, kalau boleh dari jajahan Kota Bharu atau Pasir Mas sahaja (mak saya minta supaya menantunya boleh makan budu).

6. Berketurunan Melayu.

7. Muda dua tahun dari saya.

8. Pandai memasak.

9. Lemah lembut.

10. Punya sifat keibuan yang tinggi.

11. Pandai mengambil hati orang tua.

12. Menghafaz sekurang-kurangnya 15 juzuk al-Quran.

13. Komited dalam dakwah.

14. Rajin bertahajjud.

15. Tidak lebih tinggi dari saya. Tinggi saya 1.63 cm sahaja.

16. Bertubuh sederhana, tidak terlalu kurus dan tidak terlalu gemuk.

17. Aktif bersukan.

18. Ramah-tamah.

19. Pandai memandu kereta.

20. Jangan anak sulung atau bongsu.

21. Sanggup untuk berhari raya pertama di kampung saya di Pengkalan Chepa.

22. Tidak ada sakit yang kronik, terutamanya sakit kulit.

23. Boleh juga bekerja untuk menambah pendapatan keluarga.

24. Subur, kerana saya mahukan sekurang-kurangnya enam orang anak dalam keluarga seperti Dr. Z.

Saya membaca senarai itu dengan mata yang berpinar-pinar, terasa seperti mahu tersembur air kopi yang sedang dihirup. Subhanallah, di mana harus saya cari bidadari seperti ini untuk menjadi pasangan hidupnya.

Sedaya upaya saya cuba mengawal diri, menahan tawa dan mengelakkan dari raut wajah saya berubah untuk tidak mengecilkan hatinya. Perasaan terasa bercampur-baur antara lucu dan kasihan. Sungguh 'hebat' fantasi anak muda 'dakwah' ini dalam menentukan kriteria pemilihan pasangannya.

Saya menghabiskan kopi yang panas sebelum memulakan bicara. Ada sesuatu yang harus saya katakan padanya. Namun perlu berhalus agar tidak mengusik hatinya. Dalam berdepan isu begini, kadang-kadang ikhwah mudah terasa hati.

"Akhi, anta sekarang dah hafaz berapa juzuk?" Saya menukar sedikit topik perbualan.

"Errr...baru hafaz juz 30 dan 29, itupun masih ada yang tak berapa lancar." Jelasnya jujur sambil tersengih menampakkan susunan giginya yang tidak sama.

"Macamana dengan kriteria yang saya bagi tu Abang Hisham, agak-agak ada tak akhawat yang seperti itu?" Tanya Faiz. Namun sekali lagi saya tidak menjawab soalannya dan bertanya lagi.

"Akhi, malam tadi anta solat tahajjud dan khatam 1 juzu' bacaan al-Quran tak?"

"Tak pula, letih sangat, malam tadi habis mesyuarat lambat sangat. Insya-Allah malam ni kami ada program Qiam bersama mad'u junior. Insya-Allah malam ni kami akan Qiam."

Saya mendengar jawapannya dengan bersahaja, kemudian bertanya lagi.

"Akhi, semalam berapa kali anta solat berjemaah di masjid?"

"Kenapa abang Hisham tanya soalan-soalan ni? Bukankah kita sedang berbincang tentang Baitul Muslim? Apa kena mengenanya?" Balas Faiz dengan wajah yang sedikit berubah dan suara yang agak sedikit keras walaupun masih cuba dikawalnya.

Jika kulitnya putih mungkin telah berubah menjadi kemerah-merahan tanda tidak puas hati. Tetapi kulit sawo matang melayu Kelantan yang diwarisi menyebabkan hanya kerutan yang kelihatan sedikit di dahi.

Saya hanya tersenyum.

"Beginilah Faiz, apa yang Faiz tulis dalam kertas tu bagus, cuma ia terlalu bagus. Abang Hisham yakin, dalam zaman sekarang ini, sepuluh bahkan seratus tahun mencari pun belum tentu Faiz akan berjumpa dengan calon seperti yang diinginkan jika semua kriteria tersebut harus dipenuhi."

"Tidak ada eh?" balas Faiz penuh persoalan. Keningnya diangkat sedikit.

"Kalaupun ada, mungkin dia dah kahwin dengan juara Imam Muda musim kedua agaknya. Hahaa" Saya menjawab sambil ketawa kecil. Cuba menceriakan suasana. Dia juga kelihatan tersenyum.

"Abang Hisham tanya soalan-soalan tadi supaya Faiz tahu yang Faiz pun tak sempurna mana, jadi dalam mencari calon isteri ni, tak perlulah terlalu memilih itu dan ini, sebab kita pun bukan setaraf Imam Ghazali, dengan peserta Imam Muda yang terkeluar pada pusingan pertama pun belum tentu." Jelas saya dengan bersahaja sambil merenung tepat ke wajahnya dan memberikan senyuman yang manis.

"Habis tu, bagaimana Abang Hisham?" Tanya Faiz, wajahnya kelihatan penuh ingin tahu.

"Beginilah, ...."

"Abang Hisham akan cuba tanyakan pada isteri, kalau-kalau ada calon yang sesuai. Insya-Allah, kami akan cari calon yang terbaik untuk Faiz, tapi bukan yang sempurna. Kami akan cuba tengok kalau-kalau kriteria tersebut boleh dipenuhi, tapi untuk memenuhi 1/3 darinya pun hampir mustahil."

"Anta kena ingat akhi, walaupun berada dalam sistem tarbiah dan usrah, tetapi akhawat itu tetap manusia dan tetap seorang wanita." Saya menjelaskan.

"Ada yang rupanya cantik, tapi pengamalan agamanya mungkin agak kurang."

"Ada pula yang rupanya agak sederhana dan hafazannya cuma satu juz sahaja tapi komitmen dakwahnya baik.

"Lemah-lembutnya mungkinlah tidak selembut Asyiela Putri pelakon Upin Ipin tu, tapi tidaklah pula sekeras dan se 'brutal' Kak Ros. Haha" saya menjelaskan lagi sambil tertawa. Kemudian saya menyambung bicara.

"Tentang memasak, usah dirisaukan, asalkan dia punya keinginan untuk belajar, Insya-Allah beres semuanya. Kalau nak cari yang makan budu, orang Kelantan pun tak ramai yang makan budu. Isteri ana orang Pahang, tapi hantu budu juga. Dulu ana tak makan tempoyak, tapi lepas kahwin dengan orang Pahang, ana jadi hantu tempoyak."

"Kemudian, tentang kesihatan, orang perempuan ni, ada masa dia sihat dan ada juga masa dia akan sakit, terutamanya bila mengandung."

"Tentang menghormati orang tua dan sifat-sifat mahmudah yang lain, perkara itu boleh ditarbiah dan sebahagian dari tanggungjawab suami setelah berkahwin adalah untuk membimbing isterinya dengan sifat-sifat mulia, bukan mengharapkan cinta dari bidadari syurga yang serba sempurna." Panjang saya 'mengomel'.

"Tak mengapa Faiz, nanti abang Hisham akan carikan calon yang terbaik untuk Faiz dan semestinya kriteria yang akan abang Hisham cari adalah yang paling baik agamanya."

"Banyakkanlah berdoa agar kita dipertemukan dengan jodoh yang terbaik, bukan yang tercantik dan bukan yang sempurna segalanya dan lupa juga meminta agar Allah memudahkan segala urusan untuk membina masjid ini. Ok, Faiz?" Saya menepuk bahunya dengan mesra. Anak muda sepertinya banyak perlukan bimbingan. Bukan leteran yang akan menghancurkan perasaan.

Perbualan di atas mungkin hanya rekaan, tetapi ia adalah hasil dari pengalaman saya dan rakan-rakan dalam mengendalikan urusan Baitul Muslim para pemuda-pemudi dalam dan luar negara selama beberapa tahun.

Ia kisah benar yang saya rangkumkan dalam satu perbualan. Mungkin agak ideal, tetapi itu sebahagian dari realiti ikhwah ketika mencari calon pasangan.

Dalam urusan memilih calon, harus diingat bahawa kita memilih calon di kalangan manusia, bukan Malaikat atau bidadari syurga.

Apabila pasangan itu namanya manusia, maka akan wujudlah kekurangan di sana dan di sini. Cuma satu pesanan yang ingin saya titipkan buat anak muda, pilihlah calon yang baik pengamalan dan penghayatan agamanya, Insya-Allah, rumahtangga akan dipenuhi dengan kasih sayang dan keberkatan dari Allah S.W.T.

Boleh sahaja kita memilih calon yang senegeri, yang sedap dipandang mata, punya sifat keibuan yang tinggi, pandai memasak dan sebagainya, tetapi harus diingat, bahawa kriteria pertama yang harus dilihat adalah bagaimana penghayatan agamanya, dan sejauh mana dia mengiltizamkan diri untuk membaiki diri menjadi manusia yang lebih baik.

Jika penghayatan agamanya baik, maka berlapang dadalah sedikit jika calonnya dari negeri seberang atau selang dua buah negeri atau mungkin rupanya tidak secantik dan secomel Mia Sara.

Tidak ada perkara yang tidak boleh dirunding dengan ibu bapa. Mereka hanya mahu yang terbaik untuk kita, rundinglah dengan baik dan penuh hikmah, Insya-Allah, jalan keluarnya pasti ada jika kita ikhlas ingin membina rumahtangga. Tidak ada ibu bapa yang inginkan kesengsaraan anak-anaknya.

Tentang kecantikan pula, jika calon yang dipilih adalah kerana kecantikan wajahnya, maka ketahuilah bahawa selepas berkahwin, wajah yang cantik akan menjadi biasa selepas hari-hari dipandang mata dan syaitan akan menghias wanita-wanita lain yang bukan mahram agar kelihatan lebih cantik di pandangan mata kita.

Akhirnya, yang kekal hanyalah akhlak dan pekerti yang mulia, juga keazaman untuk melahirkan dan membangunkan anak-anak singa pewaris Imaduddin, Nuruddin Zinki dan Solahuddin Al Ayyubi.

Usah terlalu gedik dalam memilih calon, tetapi biarlah realistik.

Akhir sekali, apa yang paling penting adalah bermesyuaratlah dengan ibu bapa dan orang-orang baik yang dipercayai dan berpengalaman.

Jangan lupa untuk beristikharah selepasnya agar segala keputusan mendapat panduan dari langit yang tertinggi. Insya-Allah.


Sumber : http://www.iluvislam.com/


Temui Jawapanmu Pada Sebuah Istikharah Bukan Sekadar Cinta


Memang, rasa suka dan cinta itu membantu dalam proses khitbah dan ber-baitul Muslim.

Malah, penting juga pada setengah keadaan, dalam keadaan terkawal, dipanjangkan proses taaruf, agar ada rasa kecendurangan dan suka pada yang mahu dinikahi.Malah, ada seorang ikhwah pernah mengatakan,''Pentingnya cinta itu lebih diutamakan daripada se'kufu'an dari sudut fikrah dan dakwah!''

Astaghfirullah.

Memang kita boleh memilih jalan hidup kita.Dan tentunya, apa sahaja jalan yang kita pilih, tentu akan berhadapan dengan ranjau serta durinya.Kerana ujian itu sahajalah tempat Allah menguji iman kita, dan tempat dia mengatakan kepada kita:'I love you my servant!'

Alangkah indahnya, di saat kita memilih salah satu jalan itu, kita memilihnya kerana Allah?Walaupun mungkin di sudut hati kita, ada kecenderungan mahupun kecintaan pada sesuatu yang lain.Dan tidak sedikit orang yang terkelabui malah tertutup hatinya di saat memilih pasangan hidup, akibat penangan cinta.

Lantas, pada istikharahnya sendiri, sudah memiliki kecenderungan pada yang dicintai.Kerana itu, aku amat memahami mengapa murabbi ku mendidikku untuk berkahwin dengan dakwah sebelum dengan ikhwah.Bukan kerana dia syadid, ataupun owh-mai-gowd macam malaikat, tapi kerana dia mahu mengajarkan aku sesuatu yang amat penting dalam hidupku;'No matter what happen to you in this life, jangan tinggalkan dakwah! Dan kembalikan hidupmu pada dakwah di saat penyelewangan mula berlaku.'

Bila kita memilih Allah dalam setiap perkara, di situ kita akan mengarahkan seluruh kehidupan untuk Dia. Malah menarik semua manusia yang berada dalam radar graviti kita, ke arah Dia. Dan tentu ini tidak mudah sama sekali.Malahan, setelah berkahwin, kita akan memastikan radar baitul muslim kita akan berpaksi dan kembali kepada Allah.Bukan sekadar pada sebuah cinta semata-mata.

Aku tahu kamu sedang mengalami dilema ini maka istikharahlah dengan sebenarnya.Aku katakan pada kamu dengan penuh kecintaan, istikharahlah.Istikharahlah!Dengan sekhusyuk dan sejujur hatimu supaya Allah menunjukkan jalan yang terbaik buat kamu dan supaya apa sahaja yang Allah takdirkan buat kamu, samada sukar mahupun senang, Allah akan bantu seluruh kehidupan kamu dan dakwahmu, dalam keadaan apa sekalipun.

Kerana Allah telah menyelamatkan diriku pada sebuah istikharah.Dan,setelah beristikharah dengan ramainya manusia.Sehinggalah aku amat bersyukur pada Allah, di saat Dia membukakan pada kami, tentang satu kisah dahulu yang sebenar. Walaupun pada satu detik, sebagai manusia biasa, aku serba salah dalam menolaknya.

Namun, Allah telah menyelamatkan aku, sehingga kebenaran terpamer pada dunia. Dan tentu aku amat bersyukur pada Allah, kerana dia membantu aku memilih Dia sebelum cinta, dan akhirnya cinta itu datang dengan sendirinya setelah Dia.

Di saat kamu benar-benar berpegang pada Allah, kamu kira Allah akan melepaskan tangan kamu?


Sumber : http://www.iluvislam.com/


Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Featured Posts