Subscribe:

Ads 468x60px

Pages

Saturday, February 18, 2012

Jadilah Sahabat Yang Terbaik

Dalam kehidupan yang sementara ini kita memerlukan teman yang dipanggil sebagai sahabat. Merekalah menjadi teman kita sementara kita masih bernyawa di dunia ini. Sahabat yang baik adalah sahabat yang membimbing kita ke arah kebaikan bukannya ke arah keburukan. Dalam kita bersahabat biarlah ikhlas dan bukan mengharap apa-apa balasan. Biarlah Allah sahaja yang membalas jasa baik kita.

Dalam bersahabat perlulah menjaga adab bersahabat agar hubungan persahabatan yang dibina berkekalan hingga akhir hayat kita. Janganlah kita mengambil kesempatan ke atas sahabat kita yang lemah demi kepentingan peribadi kita. Sahabat ini ibarat cermin yang memantulkan balik diri kita yang sebenarnya kepada kita. Ada pepatah mengatakan “Dalam seribu kawan belum tentu ada seorang sahabat”.

Sahabat ibarat matahari yang menyinari kehidupan kita. Memberi sumber kekuatan di kala kita lemah. Menjadi pendengar yang setia mendengar luahan masalah kita dan memberi pandangan dan nasihat menyelesaikan masalah kita. Sahabat ada di kala kita susah dan senang. Berbanding dengan kawan yang hanay ada bersama dengan kita ketika kita senang dan apabila kita susah mereka hilang entah ke mana.

Hargailah sahabat kita agar mereka juga akan menghargai kita. Kerana apa yang kita berikan kepada orang lain, itulah yang kita akan dapat kembali. Itulah erti hidup yang memberi dan menerima. Contohilah persahabatan Rasulullah dengan sahabat-sahabat seperjuanganya seperti Abu Bakar As-Siddiq, Umar Al Khattab, Usman Bin Affan, Ali Bin Abi Talib dan sahabat-sahabat nabi yang lain.

Mereka bersahabat kerana Allah dan berjuang bersama-sama dengan Rasulullah. Di kala susah dan senang. Mereka ada contoh sahabat yang terbaik yang perlu kita contohi dalam kehidupan kita. Agar kita juga menjadi sahabat yang terbaik kepada sahabat kita. Segala silap salah diterima dengan hati yang terbuka. Mana yang baik dijadikan panduan, dan mana yang buruk jadikan sempadan. Jadilah diri kita sahabat yang terbaik di dunia yang sementara ini.



Wednesday, February 08, 2012

Cikgu Dalam Kehidupan Kita

Cikgu yang terbaik dalam kehidupan kita adalah pengalaman. Pengalaman hari semalam, hari ini dan hari esok mengajar kita erti kehidupan, mematangkan fikiran dan mendewasakan diri. Pengalaman begitu berharga dalam kehidupan. Tidak dapat dibeli dan ditukar ganti dengan wang ringgit. Tanpa pengalaman hari semalam kita tidak akan dapat maju pada hari ini dan esok dan juga tidak dapat menambah baik diri dari sebelum ini. Pengalaman adalah guru terbaik mematangkan diri.

Cikgu yang teristimewa dalam kehidupan kita adalah ibu bapa kerana mereka mengajar kita erti kehidupan sejak kita kecil lagi sampailah dewasa. Tanpa ibu bapa, tiadalah kita. Tanpa ibu bapa, siapalah kita di dunia ini. Setiap tunjuk ajar dan nasihat ibu bapa adalah nasihat insan yang terbaik dalam kehidupan kita kerana mereka telah mengalami dan matang mengharungi kehidupan ini yang penuh cabaran dan onak duri. Setiap nasihat dan tunjuk ajar ibu bapa adalah terbaik buat diri kita.

Cikgu yang terindah dalam kehidupan kita adalah tenaga pengajar yang telah mengajar kita sama ada tadika, sekolah rendah, sekolah menengah mahupun pengajian tinggi. Mereka sanggup berkorban masa dan membanting tenaga empat kerat mereka demi menabur bakti dan ilmu buat diri kita agar kita menjadi insan yang berjaya pada suatu hari nanti. Dengan semua ini, kita terus maju ke hadapan dengan ilmu yang dibekalkan dan diamalkan dalam kehidupan.

Cikgu yang ternilai dalam kehidupan kita adalah orang-orang sekeliling. Melalui mereka kita akan belajar sesuatu yang tidak kita pelajari dalam kelas. Apa yang berlaku pada sekeliling kita boleh kita jadikan panduan dan pengajaran untuk kita menghadapi kehidupan ini dengan lebih baik. Jadikan apa yang berlaku di sekeliling tidak kita ulangi dalam kehidupan kita. Yang baik dijadikan panduan, yang tidak baik jadikan sempadan. Orang sekeliling adalah cermin kepada diri kita untuk menilai setiap kekurangan dan kelebihan diri kita.

Hargailah cikgu-cikgu dalam kehidupan kita ini selagi mereka masih ada di dunia yang sementara ini. Tanpa tunjuk ajar mereka selama ini secara tersurat mahupun tersirat, siapalah diri kita pada hari ini.



Tuesday, February 07, 2012

Di Sebalik Liku-Liku Kehidupan

Kerana aku seorang insan dan hamba. Pasti aku ditimpa ujian. Dikala aku bersedia atau tidak ujian tetap datang bertandang menguji diri. Ujian mengajar aku erti kehidupan. Bahawa kehidupan ini silih berganti suka dan duka. Ia dilengkapkan dengan corak air mata dan hampa. Itulah hakikat kehidupan mengajar aku erti sabar dan terus belajar senyum walaupun pahitnya ujian itu.

Ketika kehendakku tiada dalam genggaman. Aku menjadi insan matang. Mengenali kekurangan diri yang perlu aku akui siapa diriku. Mengajar aku mensyukuri setiap kekurangan dan kelebihan diriku. Terima dengan hati terbuka kelebihan insan lain. Kerana aku sedar setiap manusia ciptaan Sang Pencipta mempunyai kelebihan dan kekurangannya yang tersendiri.

Kegagalan semalam telah menghancurkan hati dan impianku. Namun kegagalan itu mengajar aku bahawa setiap apa yang diimpikan tidak semua berada di tangan. Kerana aku sedar bahawa Sang Pencipta memberi apa yang perlu bagiku bukan apa yang aku mahu. Dia yang menciptakan aku maka Dia Maha Mengetahui apa yang terbaik buat diriku walaupun sesuatu sudah baik di mataku.

Ujian menyedarkan aku bahawa aku merancang dan masa yang sama Sang Pencipta juga merancang. Namun perancangan Sang Pencipta adalah yang terbaik buat setiap hambaNya. Setiap yang berlaku ada hikmahnya yang pasti ada kebaikannya sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Aku perlu muhasabah kembali setiap hikmahNya itu untuk aku tahu apa yang Sang Pencipta ingin sampaikan kepadaku.

Ujian dan dugaan itu adalah didikan terus daripada Sang Pencipta kepada hambaNya.


Monday, February 06, 2012

Si Kucing Moewww


Gambar ini saya tangkap di hostel tempat saya belajar selepas menyaksikan perlawanan bola sepak EPL antara Chelsea lawan Manchester United. Sungguh terkejut saya melihat 2 ekor anak kucing ini tidur atas basikal beralaskan bantal. Itulah istimewanya kucing boleh tidur di mana-mana sahaja yang dia suka asalkan tempat itu memberi haba memanaskan badannya. 2 ekor anak kucing ini merupakan generasi kedua yang sempat bersama dengan saya di sini.

Sedar atau tidak, kucing mempunyai keistimewaannya tersendiri. Kucing dapat memahami perasaan manusia apabila manusia ada masalah dan berduga. Mampu membuat manusia gembira dengan gelagak lincahnya yang terlalu tinggi imaginasi menilai sesuatu di depan matanya. Namun masih ada manusia yang takut dan geli dengan kucing. Hanya orang itu lebih tahu dan memahami kenapa dia tidak suka dengan kucing.

Inilah rantai kehidupan, apabila kita sayang sesuatu, kita akan disayangi. Begitu juga dengan kucing dan binatang lain. Kucinglah binatang paling mudah rapat dengan manusia kerana keistimewaan dapat memahami perasaaan manusia dan dapat buat manusia gembira di kala berduga. Melalui kucing juga kita dapat belajar sesuatu yang dapat diaplikasikan dalam kehidupan kita apabila kita memandang kucing dengan mata hati. Jadikanlah diri kita sebagai pencinta kucing.



Sunday, February 05, 2012

Salam Maulidur Rasul

Hari ini cukup istimewa buat semua Islam seluruh dunia. Lahirnya seorang insan istimewa di dunia, kekasih Allah Nabi Muhammad SAW 1400 tahun lebih dahulu. Namun sampai saat ini baginda masih diingati umatnya walaupun tidak pernah berjumpa dan bersua sapa di depan mata. Itulah istimewanya Rasulullah SAW walaupun tidak pernah dilihat umatnya tapi masih dikenali dan dingati dalam hati. Tidak kurang juga yang melupakan baginda kerana tidak mengenali baginda secara mendalam. Di mana silapnya?

Kelahiran Rasulullah SAW memberi cahaya rahmat baru buat umat manusia secara amnya dan umat Islam secara khususnya. Terpancarnya cahaya keimanan sebenar dengan mengeluarkan manusia daripada jahiliyyah kepada Islam. Daripada menyembah patung-patung bahala yang tiada memberi apa-apa erti kepada penyembahan yang hakiki dengan menyembah Allah, Sang Pencipta manusia dan seluruh alam semesta. Cahaya yang mengubah daripada nereka kepada syurga. Tempat idaman setiap manusia sama ada manusia itu beriman atau tidak.

Namun sudah menjadi lumrah akhir zaman di mana Rasulullah SAW hanya dingati pada hari-hari keistiewaan baginda dan Islam. Tidak pada hakikatnya, sepatutnya dingati pada tiap-tiap hari dalam kehidupan kita. Perarakan Maulidur Rasul diadakan pada setiap tahun sempena sambutan Maulidur Rasul sedikit sebanyak membuat umat Islam kembali mengingati Rasulullah SAW daripada melupakan baginda terus dalam kehidupan. Ini berpunca umat Islam sendiri tidak mengenali Rasulullah SAW secara mendalam. Bak kata pepatah melayu “Tak kenal maka tak cinta”. Begitu juga dengan Rasulullah SAW.

Rasulullah SAW cukup istimewa dalam kehidupan kita. Seorang insan yang melindungi kita daripada keburukan, kejahilan dan kesesatan kehidupan. Segala pengorbanan baginda selama ini tidak mampu kita balas. Kita perlulah berasa malu dengan baginda yang selama ini kita masih tidak memenuhi harapan baginda dengan melakukan segala suruhan dan larangannya. Baginda sanggup berkorban segalanya demi umatnya. Namun kebanyakkan umatnya hanya memenuhi kepentingan diri sahaja. Kerana tiada Cinta Rasulullah dalam diri, jiwa dan hati.

Jika air mata umat mengalir kerana rindukan Rasulullah SAW, ketahuilah bahawa bukan air mata Rasulullah SAW sahaja mengalir tetapi darah Rasulullah SAW juga mengalir kerana cintakan umatnya. Sekiranya kita tak mampu melakukan semua sunnahnya. Janganlah kita tingggalkan semua sunnahnya.




Saturday, February 04, 2012

Cinta Yang Sebenar

Cinta. Rata-rata orang zaman kini khususnya anak muda silap definisi cinta yang sebenarnya. Disebabkan itu timbullah istilah cinta monyet, cinta buta dan cinta sebelum kahwin itu haram. Bercinta sudah menjadi lumrah anak muda zaman kini dan sekiranya seseorang itu belum pernah bercinta dianggap ketinggalan zaman. Fenomena ini telah merebak parah di alam persekolahan rendah lagi sehingga anak muda hilang fokus pada pelajaran disebabkan asyik melayari lamunan cinta.

Masyarakat melayu zaman kini menggangap cinta sebelum kahwin itu negatif dan haram. Kerana beranggapan cinta sebelum kahwin itu kotor dan menjijikkan. Kerana diertikan cinta sebelum kahwin itu mesti membawa keburukkan dan kemaksiatan. Cinta anak muda zaman kini mesti ada adegan berkaitan dengan dating, berpegang tangan, bercium dan seks. Tanpa semua itu dianggap tidak lengkap bercinta.

Kerana itulah cinta difaham begitu oleh anak muda dan juga orang veteran. Dari mana definisi cinta sebegitu datang? Dalam bahasa mudah, ia datang dari Hollywood. Itulah cinta Hollywood yang dipegang orang zaman kini dan semakin merebak dalam drama dan filem Melayu. Dalam sedar atau tidak, kita dididik secara tersurat dan tersirat definisi cinta sebegitu. Namun pada hakikatnya cinta yang sebenarnya bukanlah begitu.

Kesannya apabila si anak meluahkan hajatnya ingin berkahwin pada usia muda dikatakan anak itu gatal bercinta dan kahwin. Disuruhnya fokus pada belajar dulu. Niat baik si anak dimatikan begitu sahaja tanpa membawa jalan penyelesaian yang terbaik kedua-dua pihak antara si anak dan ibu bapa. Akhirnya si anak mencari jalan penyelesaiannya sendiri melayari cinta maka berlakulah perkara yang tidak sepatutnya seperti hubungan luar nikah yang membawa kepada pembuangan bayi.

Bukahkah Islam itu mudah? Kenapa kita rumitkan yang mudah disebabkan pegangan budaya bangsa yang terlalu kuat dalam diri berbandingan pegangan agama. Islam menghalalkan hubungan lelaki dengan wanita dengan nikah. Tetapi orang zaman kini merumitkan pernikahan dengan belanja yang besar, hantaran yang tinggi, majlis kenduri yang meriah dan sebagainya. Ini menyebabkan zina itu lebih mudah dari nikah.

Apa definisi cinta yang sebenarnya? Apa-apa yang membawa ke syurga itu adalah cinta. Apa-apa yang membawa ke neraka itu adalah nafsu. Apabila kita suka, kasih dan cinta seseorang mestilah kita tidak akan mencederakannya atau membuat sesuatu yang membawanya kepada keburukan. Apatah lagi membawanya ke neraka yang semestinya tiada siapa mahu menjejak kaki ke sana. Apa lagi yang istimewa melainkan ke syurgaNya.

Definisi cinta yang sebenar inilah yang mesti diperbetulkan kita semua. Jangan silap definasinya. Silap definisi cinta, silaplah melayari cinta. Betul definisi cinta, betullah melayari cinta. Sekiranya ibu bapa kita tidak dapat perbetulkan definisi cinta yang sebenarnya dan beranggap kahwin muda itu gatal dan susah. Kita perbetulkanlah apabila kita menjadi ibu bapa nanti. Janganlah kita mengulangi apa yang telah ibu bapa kita lakukan sebelum ini.

Cinta itu indah, suci dan kudus. Janganlah kita rosaknya disebabkan kejahilan kita mengenai definasi cinta yang sebenarnya.



Friday, February 03, 2012

Setiap Kali - Devotees


Setiap kali mendapat nikmat
Jarang ku sedari itu pemberianMu
Terkadang rasa itu kerana
segala usaha dan penat lelah ku sahaja

Setiap kali ditimpa musibah
Ku mengeluh risau bertambah gelisah
Hingga terlupa padaMu Allah
Tempat kembali segala masalah

Oh Tuhan Yang Maha Penyayang
Leraikanlah aku dari keluh kesah
Yang membelenggu jiwa dan fikiran
Ditambah dengan hasutan syaitan

Kurniakanlah kepada ku ketabahan
Singkapkan ku hikmah segala ketentuan
Moga sinarMu berikan ku pedoman
Hanya padaMu segala ketetapan

Seandainya diri ini
Mampu meraih cinta dan keredhaanMu
Seandainya akulah insan yang terpilih
Pimpini hidup ku




Thursday, February 02, 2012

Jadilah Diri Sendiri Yang Luar Biasa

Di usia remaja kita tercari-cari indentiti diri yang sesuai dengan diri kita. Bermacam ragam dan gaya akan dicuba sehinggalah jiwa kita selesa dengan indentiti itu. Di usia remajalah kita dapat lihat anak muda sangat bergaya berbanding mereka yang sudah dewasa yang sederhana gayanya. Dari situlah kita akan lihat pelbagai ragam manusia di sekeliling kita. Ada yang ikut budaya agama, ada yang ikut budaya timur dan tidak terlepas juga yang ikut gaya barat ala-ala Hollywood.

Mencari identiti yang sesuai dengan diri sangat penting supaya kehidupan kita menjadi terurus dan menampak kematangan diri. Namun dalam sedar atau tidak masih ramai manusia yang tidak menjadi dirinya sendiri dan lebih suka terikut-ikut diri orang lain. Itulah yang berlaku kepada orang sekeliling kita dan mungkin kita sendiri yang mengalaminya secara sedar atau tidak. Itu yang mesti kita muhasabah kembali adakah kita sedang menjadi diri sendiri atau orang lain dalam jiwa kita.

Jadilah diri sendiri dan janganlah menjadi orang lain. Ia akan membezakan kita dan orang lain. Ia menampakkan kematangan diri kita. Ia akan membuat orang suka atau rimas dengan kita. Setiap orang dikurniakan kelebihan dan kekurangan diri. Kenali kelebihan dan kekurangan diri. Kelebihan diri disyukuri, kekurangan diri diredhai. Setiap kelebihan diri perlulah ditajamkan agar ia semakin bersinar manakala kekurangan diri perlu diperbaiki sedikit demi sedikit agar ia menjadi kelebihan satu hari nanti. Ingatlah manusia itu tidak sempurna dan pasti ada kekuranagnya.

Sebagai contoh, dalam dunia penulisan dan blog, jadilah diri sendiri dan jangan ikut sepenuhnya gaya penulisan orang lain. Tidak salah jadi panduan tapi kita olah dengan gaya kita sendiri bukan menirunya sepenuhnya sehingga orang lain menyamakan kita dengan orang yang kita tiru itu. Ini menampakkan kita tidak ada identiti sendiri dan tiada keyakinan diri yang menyebabkan orang tidak yakin dan tidak senang dengan penulisan kita. Menjadi diri sendiri perlu setiap masa kerana setiap masa kita akan belajar sesuatu baru yang mematangkan diri. Pengalaman adalah guru yang terbaik mematangkan diri.

Jadikanlah kelebihan diri dengan memberi manfaatkan kepada orang lain bukannya menyusahkan orang lain. Jadikanlah ia bekalan kita di akhirat nanti. Orang yang memberi lebih bermakna dari orang menerima. Hidup ini sentiasa memberi sama ada kita suka atau tidak kerana ia rantai perjalanan kehidupan. Belajarlah ikhlaskan niat apa yang kita lakukan setiap hari hanya keranaNya bukan kerana manusia untuk berbangga dan menunjuk-nunjuk. Belajar dan terus belajar menjadi diri sendiri yang luar biasa yang memberi manfaat kepada diri sendiri dan orang lain.



Wednesday, February 01, 2012

Agungnya Sebuah Keikhlasan

Keikhlasan adalah satu perkara yang tidak dapat dilihat dan dinilai dengan mata kasar manusia. Ia berkaitan dengan batin dan dalaman manusia. Kerana itu manusia sering tertipu dan silap erti sebuah keikhlasan sebenarnya. Ditambah syaitan sering menipu daya dan membisik manusia bahawa ikhlas begitu dan begini. Tapi pada hakikatnya ia tidak semudah disangka walaupun ia nampak mudah dilaksanakan. Kerana bukan mudah mendapat darjat keikhlasan di sisiNya.

Bukan mudah ikhlaskan hati dan diri dalam semua perkara dan perbuatan seharian kita hanya keranaNya. Tanpa niat keranaNya maka sia-sialah perbuatan kita itu melainkan kita hanya mendapat riak dan menunjuk-nunjuk kepada orang lain. Apatah lagi berkaitan dengan ibadah khusus seperti solat lima waktu sehari. Sebab itulah sebaiknya sebelum memulakan solat, niat dan kata pada hati dan diri yang kita solat ini hanya keranaNya bukan kerana yang lain.

Ikhlas ibarat tangan kanan memberi tapi dalam masa yang sama tangan kiri tidak mengetahuinya. Namun hakikatnya ramai manusia tidak buat begitu kerana manusia sering suka berbangga dan menunjuk-nunjuk apa yang dia buat kepada orang lain. Kerana ingin mendapat pujian dan gelaran yang akan membuat dia menjadi orang terkenal dan nampak orang yang baik. Itulah yang kita sering lihat dalam akhbar dan tv apabila ada yang menderma kepada badan kebajikan.

Biarlah perkara seharian yang kita lakukan hanya diri sendiri dan Allah sahaja yang mengetahui. Janganlah menunjuk-nunjuk kepada orang lain kerana sia-sia sahaja apa yang bakal kita terima. Ikhlas menentukan pahala atau dosa. Ikhlas menentukan syurga atau neraka. Ikhlas menentukan bermanfaat atau sia-sia. Perbetulkan definasi ikhlas yang sebenarnya. Niat perbuatan yang keranaNya itu adalah ikhlas. Niat perbuatan bukan keranaNya itu bukan ikhlas.



Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Featured Posts