Subscribe:

Ads 468x60px

Pages

Saturday, December 24, 2011

Antara Dua Darjat Hukuman Penjara

Ini kisah benar berlaku pada minggu ini yang buat saya sungguh terkejut apabila mengetahui dan membacanya sendiri 2 kes hukuman penjara yang dijatuhkan mahkamah yang tidak adil pada akal yang waras dan sihat. Seolah-olah hukuman penjara ditentukan darjat seseorang bukan atas kesalahannya. Ini menandakan ada yang tidak kena dalam institusi mahkamah. Kesalahan kes pertama yang melibatkan duit berjuta-juta tapi hukumannya hanya 1 tahun (12 bulan) tapi kesalahan kes kedua yang hanya melibatkan duit RM20 kerana terdesak membeli susu anak akhirnya dikenakan hukuman 3 tahun (36 bulan). Kesimpulannya, semakin berpengaruh seseorang itu, semakin kurang hukuman kesalahannya.


Kes Pertama

SHAH ALAM – Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo berkata, beliau akan membuat satu pengumuman pada 9 Januari depan.

Ditanya sama ada pengumuman tersebut berkaitan masa depan politiknya, beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut.

“Apa pun, sama ada pengumuman mengenai karier politik atau sebaliknya tunggu 9 Januari,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.

Khir didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan - tuduhan rasuah yang lebih ringan, berbanding tuduhan di bawah Akta Pencegahan Rasuah dan akta baru Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Khir berdepan kemungkinan hukuman penjara dua tahun atau denda atau kedua-duanya.

Jika denda itu melebihi RM2,000, Khir boleh hilang kelayakannya sebagai Adun dan tidak boleh bertanding dalam pilihan raya akan datang.

Ketika ditemui di luar mahkamah sebaik sahaja didapati bersalah dan dikenakan hukuman penjara 12 bulan oleh Mahkamah Tinggi atas tuduhan mendapatkan untuk beliau dan isterinya dua lot tanah dan sebuah bang­lo bernilai RM6.5 juta dengan harga RM3.5 juta, empat tahun lalu, Khir berkata, beliau akan akan berjuang untuk membersihkan nama baiknya.

Mohamad Khir berkata, hukuman ini bukan keputusan akhir kerana beliau masih boleh merayu.

“Saya akan buat rayuan di mahkamah. Rayuan akan difailkan oleh peguam saya petang ini,” katanya.

Menurutnya, kesalahan itu adalah kes pertama di negara ini.

Mohamad Khir hadir ke mahkamah ditemani isterinya, Zahrah Kecik.



Kes Kedua

KUALA TERENGGANU - “Saya langsung tidak ada niat hendak menyamun mangsa tetapi saya benar-benar dalam situasi terdesak memerlukan wang untuk membeli susu kepada anak kembar yang baru berusia setahun,” demikian jelas tertuduh, Mohd Hishanudin Abdullah, 32, ketika menjawab pertanyaan Hakim Datuk Zainal Abidin Kamarudin yang ingin mengetahui sebab mendorong dia melakukan jenayah tersebut.

Bapa kepada tiga anak itu turut mengakui semasa kejadian, dia yang berada dalam dunianya sendiri berikutan penangan najis dadah yang diambilnya sebelum itu juga mendorong dia bertindak sedemikian rupa dan sanggup memeras ugut mangsa hanya kerana inginkan RM20.

Dalam masa sama, tertuduh yang sebelum ini bekerja sebagai pelayan kapal peranginan di sebuah pulau di negeri ini menjelaskan walaupun pendapatan bula-nannya mencecah RM3,000, namun sentiasa tidak mencukupi dek kerana ketagihan dadah melampau.

Terdahulu, Mohd Hishanudin, dari Rumah Pangsa, Kampung Kolam, Kuala Terengganu yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, kelmarin atas dakwaan mengikut Seksyen 392 Kanun Keseksaan mengaku salah melakukan pemerasan dengan mendatangkan ketakutan terhadap mangsa, Muhamad Ismail Al-Rashid Ramli, 18.

Tertuduh mengaku melakukan jenayah itu menggunakan sebilah pisau lipat dengan niat mangsa dapat menyerahkan RM20 di hadapan sebuah kedai kunci Jalan Masjid Sultan Zainal Abidin, di sini, kira-kira jam 3.15 petang, 13 Disember lalu.

Berikutan pengakuan salah tersebut dan mendengar rayuan tertuduh yang tidak diwakili peguam bela, Zainal Abidin menjatuhkan hukuman 36 bulan penjara bermula tarikh tertuduh ditangkap.

Terdahulu, sebelum hukuman dijatuhkan, tertuduh yang pada awalnya kelihatan tenang menjawab soalan dikemukakan Zainal Abidin tidak dapat menahan sebak dan menangis teresak-esak di kandang tertuduh ketika Zainal Abidin meminta dia membayangkan masa depan anaknya sekiranya dia berterusan melakukan jenayah.


Sumber : Sinar Harian

0 comments:

Post a Comment

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...

Featured Posts